benuaetamnews.com
Seorang pekerja kilang, Suhaina Sarwan, 46 tahun, menghadapi Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki bahan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (ISIS) bulan lalu.
Pada mulanya, Suhaina menjawab ‘faham’ setelah kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim, Hayda Faridzal Abu Hassan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, memandangkan kes tersebut dalam bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Menurut kertas pertuduhan pertama, Suhaina didakwa memiliki artikel-artikel berkaitan dengan kumpulan pengganas ISIS dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba.
Kesalahan dilakukan di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya di sini, pada kira-kira jam 2.20 petang pada 30 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki lima buku berkaitan dengan kumpulan pengganas ISIS dan perbuatan pengganas.
Kesalahan terbabit dilakukan di Blok 9, Felda Lok Heng Barat di sini, pada kira-kira jam yang sama pada 30 Mei lalu.
Suhaina didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB (1).
Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, serta dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniatkan untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 29 Julai ini sebagai sebutan untuk keputusan permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kelmarin, Suhaina bersama suaminya dan seorang lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas lima pertuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas ISIS bulan lalu.
Terdahulu, Suhaina yang mengenakan baju hijau tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.20 pagi dengan pengawalan ketat lebih daripada 10 anggota polis bersenjata.